Technology College Sarawak

KUCHING: Kolej Teknologi Sarawak (TCS) merupakan institusi pengajian tinggi berasaskan perniagaan terbaik di Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, TCS mempunyai kadar kelulusan yang tinggi yang melebihi jangkaan dan ia merupakan pencapaian cemerlang di mana dapat membantu melahirkan graduan dengan kemahiran kebolehpasaran yang mendapat permintaan tinggi dalam industri pekerjaan.

“Jadi, tidak hairanlah kira-kira 98 peratus graduan daripada TCS bekerja dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian mereka.

“Belajar di TCS juga datang dengan pelbagai kelebihan, ia menawarkan kursus kelas pertama dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang merupakan institusi pengajian tinggi bertaraf lima bintang di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni semasa Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-17 Kolej Teknologi Sarawak di Raia Hotel pada Sabtu.

Tambah Premier Sarawak lagi , penuntut TCS turut mempunyai kelebihan menerima bantuan kewangan kerajaan dalam membantu pelajar untuk membayar yuran pengajian bagi mengurangkan beban kewangan pelajar serta dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.

Selain itu ujarnya, khidmat masyarakat adalah bahagian yang penting dalam pendidikan serta pembangunan tingkah laku di mana penuntut berpeluang untuk mempelajari kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan dan belajar tentang komuniti dan dunia di sekeliling mereka.

“TCS juga telah memberi penekanan yang kuat kepada pelajar yang mengambil bahagian dalam khidmat masyarakat dengan mengadakan aktiviti seperti ‘paint the world’ yang membolehkan belia TCS mengamalkan kesukarelawan, kepimpinan dan kreativiti,” ujarnya. -EDISI UKAS